HARAPAN

"Jangan Pernah Berhenti Berharap"

Mengalah Bukan Kalah


Semalam semasa aku menjelajah ke alam sesawang, aku melihat seorang sahabat mengeluarkan kenyataan ini. “Mengalah Bukan Kalah”. Memang benar kenyataan ini. Tidak bererti kita mengalami kekalahan apabila kita lebih suka mengalah. Mengalah juga bukan bereti lemah. Bukan bermaksud kita tidak mampu melawan. Tetapi mengalah adalah lebih baik daripada “berbalah”.

Dalam hidup ini, tiadalah upaya kita sebagai insan lemah untuk memuaskan hati semua insan. Seringkali berlaku keadaan apabila perdebatan kecil terhadap sesuatu perkara mengundang perselisihan besar bilamana percanggahan pendapat berlaku. Keegoan untuk membuktikan hujah yang diberikan adalah benar dan harus diterima selalunya berakhir dengan pertengkaran sehingga membawa kepada hubungan dingin antara kedua belah pihak.

Berbaloikah hubungan silaturrahim yang dipupuk sejak sekian lama menjadi hambar ekoran keegoan diri sendiri? Tentunya tidak! Dalam hidup yang singkat ini, apalah gunanya berbalah kalau tujuan utamanya adalah untuk mencari titik pemisah antara benar dan juga salah. Barangkali agak payah untuk menyemai sikap mengalah terutama sekali apabila pohon keegoan sudah lama bercambah dalam diri. Ya. Memang sukar mencantasnya tapi tidak mustahil bukan?

Mengalah bukan bererti lemah. Mengalah bukan bererti kalah. Tidak perlu kita menegakkan benang yang basah jika hakikatnya masih ada lompang-lompang kelemahan yang jelas terlihat di dalam diri sendiri. Dalam sesetengah perkara, mengalah lebih baik daripada pada akhirnya hanya kebodohan diri yang tertonjol.

0 comments:

Post a Comment