HARAPAN

"Jangan Pernah Berhenti Berharap"

Usahlah Berputus Asa

Dari Abu Hurairah r.a bahawa nabi SAW telah bersabda: "Allah sentiasa memperkenankan doa seorang hamba selama doa itu tidak mengandungi (perkara) dosa, (perkara yang) memutuskan silaturrahim dan selama tidak meminta supaya cepat-cepat diperkenankan." Lalu baginda ditanya oleh seseorang: "Apa maksudnya meminta dicepatkan?" Jawab baginda: "Umpamanya seseorang itu berkata dalam doanya: Aku telah berdoa, aku telah berdoa tetapi aku belum melihat doaku diperkenankan. Lalu aku putus asa dan berhenti berdoa." ( Riwayat Muslim)

Sebagai hambaNya, kita berdoa memohon agar apa yang kita doakan itu dimakbulkanNya dengan segera. Tiadakah dalam hati insan yang kerdil ini terdetik perasaan malu. Mendesak pada yang memberi. Walhal, yang meminta itu seringkali melupakan Yang Memberi. Sering lalai mengerjakan tanggungjawabnya kepada Yang Memberi. Sementelah begitu sikapnya manusia, masih lagi ada antara kita yang mendesak agar apa yang didoakan itu, dimakbulkan dengan segera. Masya Allah..... Siapa diri kita ini?

Lantaran doa yang lambat diperkenankan, kita menjadi putus asa untuk bergantung padaNya sedangkan tiada tempat bergantung yang lebih sempurna selain dariNya. Sedarlah wahai sahabat-sahabatku, janji Allah adalah pasti. Barangkali apa yang kita doakan itu tidak dimakbulkan kerana Allah ingin memberi lebih daripada apa yang kita mohon. Usahlah pernah berputus asa.

Putus asa adalah penyakit hati yang akan memungkinkan berlakunya penindasan terhadap diri sendiri tanpa kita sedari. Tidak dinafikan, onak-onak berduri yang menutupi laluan perjalanan adalah ujian yang terbesar dalam hidup kita. Onak-onak inilah yang bakal membuatkan kita tersungkur malahan lebih dari itu membuatkan kita jatuh menyembah bumi tanpa mampu berdiri kembali. Tiadalah daya upaya lagi untuk bangkit tatkala diri sudah berputus asa.

Itu hanyalah omongan bagi mereka yang lemah semangat. Hidup ini adalah perjuangan. Iman itu adalah bekalannya. Andai berjuang tanpa iman, pastinya mudah tersungkur dipertengahan. Destinasi di dunia ini cuma satu, mengumpul bekalan untuk kehidupan abadi di hujung perjalanan. Tatkala putus asa menjelma sebagai respon pada dugaan, pastinya apa yang diusahakan selama ini menjadi sia-sia.

Kehidupan Ini Ibarat Pelayaran

Adapun manusia hidup di dunia ini adalah ibarat orang yang belayar di lautan luas. Mereka menumpang sebuah kapal menuju daratan yang jauh di sana. Setelah berhari-hari di lautan, sedangkan daratan yang dituju itu belum juga kelihatan. Maka pada suatu hari kapal itu singgah pada satu pulau. Adapun orang yang turun ke pulau ini terbahagi kepada tiga golongan.

Golongan pertama: mereka tahu dan ingat bahawa mereka dalam perjalanan. Setelah berehat-rehat sebentar, lantas mereka kembali ke kapal. Mereka ingat bahawa bukan pulau ini yang menjadi tujuan mereka.

Golongan kedua: mereka terpengaruh dengan kehidupan pulau. Pohon kelapa di pulau itu melambai-lambai ditiup angin, airnya jernih, ikannya jinak. Mereka terpegun dan terlena, tetapi kemudian mereka ingat bahawa mereka dalam perjalanan. Maka mereka kembali ke kapal. Tetapi kerana terlambat, tempat duduk telah habis diduduki orang.

Adapun golongan ketiga inilah yang malang. Setelah dibunyikan semboyan kapal yang pertama tidak mereka pedulikan, dibunyikan sekali lagi, juga tidak dihiraukan dan berbunyi kali ketiga, kapal itu pun berangkat. Setelah kapal itu jauh, dipanggil tidak kembali lagi. Mereka inilah golongan yang amat malang.

Renungkan diri kita.. Di manakah kedudukan kita?

Apabila Kau Ingin Berteman Denganku

Apabila kau ingin berteman denganku,
Janganlah kerana kelebihanku,
Kerana mungkin dengan kelemahanku,
Kau mungkin akan menjauhiku...

Apabila kau ingin berteman denganku,
Janganlah kerana kebaikanku,
Kerana mungkin dengan satu keburukanku,
Kau akan membenciku..


Apabila kau ingin berteman denganku,
Janganlah kerana ilmuku,
Kerana apabila aku buntu,
Kau mungkin akan memfitnahku..

Apabila kau ingin berteman denganku,
Jangan kerana sifat ceriaku,
Kerana bilamana aku bersedih,
Kau mungkin akan meninggalkanku..

Apabila kau ingin berteman denganku,
Terimalah diriku seadanya,
Kerana aku seorang sahabat,
Tiada sempurna penuh kelemahan....

Muhasabah Cinta - EdCoustic


Wahai pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dari Mu
Kupasrahkan semua pada Mu

Tuhan baru ku sadar
Indah nikmat sehat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini ku harapkan cinta Mu

Kata kata cinta terucap indah
Mengalir berzikir di kidung do'a ku
Sakit yang ku rasa biar
Jadi penawar dosaku

Butir butir cinta air mataku
Terlihat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya Ilahi Muhasabah cintaku

Tuhan kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku dengan Mu

Nasihat Hidup Bahagia



Barangsiapa menginginkan teman, cukuplah Allah menjadi temannya.

Barangsiapa menginginkan kekayaan, cukuplah qana'ah menyertainya.

Barangsiapa menginginkan nasihat, cukuplah kematian menasihatinya.

Barangsiapa menginginkan harta simpanan, cukuplah Al-Quran menjadi barang simpanannya.

Barangsiapa yang tidak cukup dengan keempat-empat hal ini, cukuplah neraka baginya

KepadaMU Aku Bersujud




Suatu pagi aku terbangun dan berpeluang melihat mentari terbit. Aaah.. kecantikan alam ciptaan Allah memang tiada tolok bandingnya. Sedang aku memerhati, aku puji Tuhan atas segala keindahan yang telah Ia sajikan. Aku duduk dan terasa kehadiranNya di sisiku.

Dia bertanya kepadaku, “Adakah kamu mencintai Aku?” Aku menjawab, “Sudah tentu! Engkaulah Penciptaku, masakan aku tidak mencintaiMu.” Kemudian Dia bertanya lagi, “Jika kamu ditakdirkan cacat anggota, adakah kamu akan mencintaiKu?” Aku tergamam seketika. Aku lihat tangan,kaki dan seluruh anggotaku; aku teringat pelbagai kerja yang mustahil aku lakukan tanpa anggotaku ini yang selama ini tidak kusedari kepentingannya.

Kemudian aku jawab, “Tentunya ia amat sukar bagiku, tetapi aku akan tetap mencintaiMu.” Kemudian Dia bertanya lagi, “Jika kamu ditakdirkan buta, adakah kamu akan menyayangi segala ciptaanKu?” Bagaimana mungkin bagiku untuk mencintai sesuatu yang di dunia ini yang tak mampu aku lihat? Kemudian aku berfikir...ramai orang yang ditakdirkan buta di dunia ini, dan mereka masih mencintai Allah dan segala ciptaanNya. Lantas aku menjawab, “Amat sukar bagiku membayangkan keadaanku yang sedemikian rupa, namun begitu aku akan tetap menyintaimu Ya Allah.”

Dia bertanya lagi, “Jika kamu ditakdirkan pekak, adakah kamu akan tetap mendengar kepada kata-kataKu?” Bagaimana mungkin bagiku mendengar jika aku pekak? Kemudian aku tersedar bahawa mendengar itu tidak semestinya menggunakan telinga; tetapi menggunakan hati. Aku jawab, “Walaupun takdir itu amat berat bagiku, namun aku akan tetap menyintaiMu.”

Dia menyambung lagi persoalanNya, “Jika kamu ditakdirkan bisu adakah kamu akan terus memujiKu?” Aku tertanya lagi, bagaimana aku boleh memuji tanpa suara? Aku terfikir kemudian yang Allah mahu kita memujiNya dari dalam hati dan jiwa kita; tidak penting bagaimanakah bunyinya. Kemudian aku menjawab, “Sungguhpun aku tidak mampu untuk membunyikan pujian bagiMu, aku akan tetap memujiMu.” Dan...

Dia terus bertanya lagi, “Adakah kamu benar-benar menyintaiKu?” dengan nada yang tegas dan penuh keberanian. Aku jawab dengan yakin, “Ya, benar Tuhanku, aku menyintaimu kerana Engkaulah satu-satunya Tuhanku dan Tuhan yang sebenar!” Aku fikir jawapanku tadi sudah cukup bagus untuk menjawab soalanNya tadi, tetapi Dia terus bertanyakan lagi, “Kalau begitu kenapa kamu masih melakukan dosa?” Aku jawab, “Kerana aku cuma manusia bisa yang selalu lalai; aku tidak sempurna...aku bukan maksum.” “Kalau begitu, kenapa ketika kamu senang dan gembira...kamu lupakanKu; kamu lari jauh daripadaKu? Dan kenapa ketika kamu susah dan mahukan bantuan...kamu terus ingat kepada Aku; kamu datang dekat dan merayu kepada Aku?”

Aku tidak mampu berkata-kata. Yang kusedari...titisan panas turun membasahi pipiku. Dia menyambung lagi, “Mengapa kamu buat begini...kadang-kadang sujud menyembahKu, dan kemudian membelakangiKu; tidak pedulikanKu? Mengapa kamu hanya datang mencariKu hanya ketika kamu mengingatiKu? Mengapa kamu meminta kepadaKu sedang kamu tidak setia kepadaKu?” Kurasakan titisan panas mengalir deras membasahi pipiku tanpa henti. “Mengapa kamu malu kepadaKu? Mengapa kamu tidak mahu menyebarkan suruhanKu? Mengapa ketika kamu dizalimi kamu adukan kepada yang lain sedang Aku sedia mendengar segala rintihanmu? Mengapa kamu sering membuat alasan ketika Aku memberimu peluang untuk berkhidmat di jalanKu?”

Ku gagahi bibirku untuk mengucapkan patah-patah perkataan bagi menjawab segala soalan yang bertubi-tubi diajukan kepadaku. Tetapi aku tidak punyai jawapan bagi persoalan-persoalan tadi. Lidahku yang selama ini lancar berkata-kata, kini kelu. Otakku ligat mencari jawapan... atau alasan... namun tiada apa yang kutemui sebagai jawapan. Dia berkata-kata lagi... “Kamu diberikan sebuah kehidupan. Aku jadikan dalam dirimu keistimewaan dan kelebihan berbanding orang lain untuk kamu berjuang di jalanKu, tetapi kamu tetap berpaling dari jalanKu. Aku tunjukkan kepadamu kata-kataKu sebagai panduan kamu dalam hidup ini, tetapi kamu tidak mahu mempelajari atau menghayatinya.

Acap kali Aku berkata-kata kepadamu, tetapi kamu berpaling daripada melihatnya. Aku turunkan kepada kamu pesuruhKu, tetapi kamu tidak ambil peduli ketika sunnahnya ditinggalkan. Aku dengar segala permintaan dan rayuanmu kepadaKu... dan semuanya telah Aku perkenankan dengan pelbagai cara.”

SambungNya lagi, “Kini... adakah kamu menyintaiKu?” Aku tidak mampu menjawabnya lagi. Bagaimana harus aku jawab persoalan ini.. Dalam tak sedar, aku malu dengan segala apa yang telah aku lakukan selama ini. Aku tidak lagi punya alasan bagi menyelamatkan diriku. Apa yang boleh aku jawab bagi persoalan itu? Ketika hatiku berteriak menangis, dan bercucuran airmata mengalir turun di kedua-dua belah pipiku, aku merintih, “Oh Tuhanku... ampunkanlah segala dosaku. Aku tidak layak menjadi hambaMu Ya Allah...” Kemudian Dia menjawab, “
SifatKu pengampun. barangsiapa yang memohon keampunan dariKu, nescaya Aku ampunkannya. Dan Aku ampunkan kamu wahai hambaKu.

Aku bertanya kepadaNya, “Mengapa Engkau tetap mengampunkanku sungguhpun aku melakukan kesalahan berulangkali dan memohon ampun berulangkali? Sampai begitu sekalikah cintaMu terhadapku?” Dia menjawab “
Kerana kamu adalah ciptaanKu. Aku sekali-kali tidak akan mengabaikanmu. Apabila kamu menangis aku akan bersimpati kepadamu dan mendengar segala rintihanmu. Apabila kamu melonjak kegirangan Aku akan turut gembira dengan kegembiraanmu. Apabila kamu berasa gundah dan kesepian, Aku akan memberikanmu semangat. Apabila kamu jatuh Aku akan membangkitkanmu. Apabila kamu keletihan Aku akan membantumu. Aku akan tetap bersama-samamu hinggalah ke hari yang akhir dan Aku akan menyayangimu selama-lamanya.

*Artikel ini sumbangan iyra95

Mengalah Bukan Kalah


Semalam semasa aku menjelajah ke alam sesawang, aku melihat seorang sahabat mengeluarkan kenyataan ini. “Mengalah Bukan Kalah”. Memang benar kenyataan ini. Tidak bererti kita mengalami kekalahan apabila kita lebih suka mengalah. Mengalah juga bukan bereti lemah. Bukan bermaksud kita tidak mampu melawan. Tetapi mengalah adalah lebih baik daripada “berbalah”.

Dalam hidup ini, tiadalah upaya kita sebagai insan lemah untuk memuaskan hati semua insan. Seringkali berlaku keadaan apabila perdebatan kecil terhadap sesuatu perkara mengundang perselisihan besar bilamana percanggahan pendapat berlaku. Keegoan untuk membuktikan hujah yang diberikan adalah benar dan harus diterima selalunya berakhir dengan pertengkaran sehingga membawa kepada hubungan dingin antara kedua belah pihak.

Berbaloikah hubungan silaturrahim yang dipupuk sejak sekian lama menjadi hambar ekoran keegoan diri sendiri? Tentunya tidak! Dalam hidup yang singkat ini, apalah gunanya berbalah kalau tujuan utamanya adalah untuk mencari titik pemisah antara benar dan juga salah. Barangkali agak payah untuk menyemai sikap mengalah terutama sekali apabila pohon keegoan sudah lama bercambah dalam diri. Ya. Memang sukar mencantasnya tapi tidak mustahil bukan?

Mengalah bukan bererti lemah. Mengalah bukan bererti kalah. Tidak perlu kita menegakkan benang yang basah jika hakikatnya masih ada lompang-lompang kelemahan yang jelas terlihat di dalam diri sendiri. Dalam sesetengah perkara, mengalah lebih baik daripada pada akhirnya hanya kebodohan diri yang tertonjol.

Tentang Blog Ini

bila dirimu hilang harapan, dikala hatimu resah gelisah, ku lampirkan kata-kata hikmah untukmu kembali berharap..

Tentang Diriku

sekadar berkongsi ilmu..