HARAPAN

"Jangan Pernah Berhenti Berharap"

Kehidupan Ini Ibarat Pelayaran

Adapun manusia hidup di dunia ini adalah ibarat orang yang belayar di lautan luas. Mereka menumpang sebuah kapal menuju daratan yang jauh di sana. Setelah berhari-hari di lautan, sedangkan daratan yang dituju itu belum juga kelihatan. Maka pada suatu hari kapal itu singgah pada satu pulau. Adapun orang yang turun ke pulau ini terbahagi kepada tiga golongan.

Golongan pertama: mereka tahu dan ingat bahawa mereka dalam perjalanan. Setelah berehat-rehat sebentar, lantas mereka kembali ke kapal. Mereka ingat bahawa bukan pulau ini yang menjadi tujuan mereka.

Golongan kedua: mereka terpengaruh dengan kehidupan pulau. Pohon kelapa di pulau itu melambai-lambai ditiup angin, airnya jernih, ikannya jinak. Mereka terpegun dan terlena, tetapi kemudian mereka ingat bahawa mereka dalam perjalanan. Maka mereka kembali ke kapal. Tetapi kerana terlambat, tempat duduk telah habis diduduki orang.

Adapun golongan ketiga inilah yang malang. Setelah dibunyikan semboyan kapal yang pertama tidak mereka pedulikan, dibunyikan sekali lagi, juga tidak dihiraukan dan berbunyi kali ketiga, kapal itu pun berangkat. Setelah kapal itu jauh, dipanggil tidak kembali lagi. Mereka inilah golongan yang amat malang.

Renungkan diri kita.. Di manakah kedudukan kita?

Apabila Kau Ingin Berteman Denganku

Apabila kau ingin berteman denganku,
Janganlah kerana kelebihanku,
Kerana mungkin dengan kelemahanku,
Kau mungkin akan menjauhiku...

Apabila kau ingin berteman denganku,
Janganlah kerana kebaikanku,
Kerana mungkin dengan satu keburukanku,
Kau akan membenciku..


Apabila kau ingin berteman denganku,
Janganlah kerana ilmuku,
Kerana apabila aku buntu,
Kau mungkin akan memfitnahku..

Apabila kau ingin berteman denganku,
Jangan kerana sifat ceriaku,
Kerana bilamana aku bersedih,
Kau mungkin akan meninggalkanku..

Apabila kau ingin berteman denganku,
Terimalah diriku seadanya,
Kerana aku seorang sahabat,
Tiada sempurna penuh kelemahan....

Muhasabah Cinta - EdCoustic


Wahai pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dari Mu
Kupasrahkan semua pada Mu

Tuhan baru ku sadar
Indah nikmat sehat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini ku harapkan cinta Mu

Kata kata cinta terucap indah
Mengalir berzikir di kidung do'a ku
Sakit yang ku rasa biar
Jadi penawar dosaku

Butir butir cinta air mataku
Terlihat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya Ilahi Muhasabah cintaku

Tuhan kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku dengan Mu

Nasihat Hidup Bahagia



Barangsiapa menginginkan teman, cukuplah Allah menjadi temannya.

Barangsiapa menginginkan kekayaan, cukuplah qana'ah menyertainya.

Barangsiapa menginginkan nasihat, cukuplah kematian menasihatinya.

Barangsiapa menginginkan harta simpanan, cukuplah Al-Quran menjadi barang simpanannya.

Barangsiapa yang tidak cukup dengan keempat-empat hal ini, cukuplah neraka baginya

KepadaMU Aku Bersujud




Suatu pagi aku terbangun dan berpeluang melihat mentari terbit. Aaah.. kecantikan alam ciptaan Allah memang tiada tolok bandingnya. Sedang aku memerhati, aku puji Tuhan atas segala keindahan yang telah Ia sajikan. Aku duduk dan terasa kehadiranNya di sisiku.

Dia bertanya kepadaku, “Adakah kamu mencintai Aku?” Aku menjawab, “Sudah tentu! Engkaulah Penciptaku, masakan aku tidak mencintaiMu.” Kemudian Dia bertanya lagi, “Jika kamu ditakdirkan cacat anggota, adakah kamu akan mencintaiKu?” Aku tergamam seketika. Aku lihat tangan,kaki dan seluruh anggotaku; aku teringat pelbagai kerja yang mustahil aku lakukan tanpa anggotaku ini yang selama ini tidak kusedari kepentingannya.

Kemudian aku jawab, “Tentunya ia amat sukar bagiku, tetapi aku akan tetap mencintaiMu.” Kemudian Dia bertanya lagi, “Jika kamu ditakdirkan buta, adakah kamu akan menyayangi segala ciptaanKu?” Bagaimana mungkin bagiku untuk mencintai sesuatu yang di dunia ini yang tak mampu aku lihat? Kemudian aku berfikir...ramai orang yang ditakdirkan buta di dunia ini, dan mereka masih mencintai Allah dan segala ciptaanNya. Lantas aku menjawab, “Amat sukar bagiku membayangkan keadaanku yang sedemikian rupa, namun begitu aku akan tetap menyintaimu Ya Allah.”

Dia bertanya lagi, “Jika kamu ditakdirkan pekak, adakah kamu akan tetap mendengar kepada kata-kataKu?” Bagaimana mungkin bagiku mendengar jika aku pekak? Kemudian aku tersedar bahawa mendengar itu tidak semestinya menggunakan telinga; tetapi menggunakan hati. Aku jawab, “Walaupun takdir itu amat berat bagiku, namun aku akan tetap menyintaiMu.”

Dia menyambung lagi persoalanNya, “Jika kamu ditakdirkan bisu adakah kamu akan terus memujiKu?” Aku tertanya lagi, bagaimana aku boleh memuji tanpa suara? Aku terfikir kemudian yang Allah mahu kita memujiNya dari dalam hati dan jiwa kita; tidak penting bagaimanakah bunyinya. Kemudian aku menjawab, “Sungguhpun aku tidak mampu untuk membunyikan pujian bagiMu, aku akan tetap memujiMu.” Dan...

Dia terus bertanya lagi, “Adakah kamu benar-benar menyintaiKu?” dengan nada yang tegas dan penuh keberanian. Aku jawab dengan yakin, “Ya, benar Tuhanku, aku menyintaimu kerana Engkaulah satu-satunya Tuhanku dan Tuhan yang sebenar!” Aku fikir jawapanku tadi sudah cukup bagus untuk menjawab soalanNya tadi, tetapi Dia terus bertanyakan lagi, “Kalau begitu kenapa kamu masih melakukan dosa?” Aku jawab, “Kerana aku cuma manusia bisa yang selalu lalai; aku tidak sempurna...aku bukan maksum.” “Kalau begitu, kenapa ketika kamu senang dan gembira...kamu lupakanKu; kamu lari jauh daripadaKu? Dan kenapa ketika kamu susah dan mahukan bantuan...kamu terus ingat kepada Aku; kamu datang dekat dan merayu kepada Aku?”

Aku tidak mampu berkata-kata. Yang kusedari...titisan panas turun membasahi pipiku. Dia menyambung lagi, “Mengapa kamu buat begini...kadang-kadang sujud menyembahKu, dan kemudian membelakangiKu; tidak pedulikanKu? Mengapa kamu hanya datang mencariKu hanya ketika kamu mengingatiKu? Mengapa kamu meminta kepadaKu sedang kamu tidak setia kepadaKu?” Kurasakan titisan panas mengalir deras membasahi pipiku tanpa henti. “Mengapa kamu malu kepadaKu? Mengapa kamu tidak mahu menyebarkan suruhanKu? Mengapa ketika kamu dizalimi kamu adukan kepada yang lain sedang Aku sedia mendengar segala rintihanmu? Mengapa kamu sering membuat alasan ketika Aku memberimu peluang untuk berkhidmat di jalanKu?”

Ku gagahi bibirku untuk mengucapkan patah-patah perkataan bagi menjawab segala soalan yang bertubi-tubi diajukan kepadaku. Tetapi aku tidak punyai jawapan bagi persoalan-persoalan tadi. Lidahku yang selama ini lancar berkata-kata, kini kelu. Otakku ligat mencari jawapan... atau alasan... namun tiada apa yang kutemui sebagai jawapan. Dia berkata-kata lagi... “Kamu diberikan sebuah kehidupan. Aku jadikan dalam dirimu keistimewaan dan kelebihan berbanding orang lain untuk kamu berjuang di jalanKu, tetapi kamu tetap berpaling dari jalanKu. Aku tunjukkan kepadamu kata-kataKu sebagai panduan kamu dalam hidup ini, tetapi kamu tidak mahu mempelajari atau menghayatinya.

Acap kali Aku berkata-kata kepadamu, tetapi kamu berpaling daripada melihatnya. Aku turunkan kepada kamu pesuruhKu, tetapi kamu tidak ambil peduli ketika sunnahnya ditinggalkan. Aku dengar segala permintaan dan rayuanmu kepadaKu... dan semuanya telah Aku perkenankan dengan pelbagai cara.”

SambungNya lagi, “Kini... adakah kamu menyintaiKu?” Aku tidak mampu menjawabnya lagi. Bagaimana harus aku jawab persoalan ini.. Dalam tak sedar, aku malu dengan segala apa yang telah aku lakukan selama ini. Aku tidak lagi punya alasan bagi menyelamatkan diriku. Apa yang boleh aku jawab bagi persoalan itu? Ketika hatiku berteriak menangis, dan bercucuran airmata mengalir turun di kedua-dua belah pipiku, aku merintih, “Oh Tuhanku... ampunkanlah segala dosaku. Aku tidak layak menjadi hambaMu Ya Allah...” Kemudian Dia menjawab, “
SifatKu pengampun. barangsiapa yang memohon keampunan dariKu, nescaya Aku ampunkannya. Dan Aku ampunkan kamu wahai hambaKu.

Aku bertanya kepadaNya, “Mengapa Engkau tetap mengampunkanku sungguhpun aku melakukan kesalahan berulangkali dan memohon ampun berulangkali? Sampai begitu sekalikah cintaMu terhadapku?” Dia menjawab “
Kerana kamu adalah ciptaanKu. Aku sekali-kali tidak akan mengabaikanmu. Apabila kamu menangis aku akan bersimpati kepadamu dan mendengar segala rintihanmu. Apabila kamu melonjak kegirangan Aku akan turut gembira dengan kegembiraanmu. Apabila kamu berasa gundah dan kesepian, Aku akan memberikanmu semangat. Apabila kamu jatuh Aku akan membangkitkanmu. Apabila kamu keletihan Aku akan membantumu. Aku akan tetap bersama-samamu hinggalah ke hari yang akhir dan Aku akan menyayangimu selama-lamanya.

*Artikel ini sumbangan iyra95

Mengalah Bukan Kalah


Semalam semasa aku menjelajah ke alam sesawang, aku melihat seorang sahabat mengeluarkan kenyataan ini. “Mengalah Bukan Kalah”. Memang benar kenyataan ini. Tidak bererti kita mengalami kekalahan apabila kita lebih suka mengalah. Mengalah juga bukan bereti lemah. Bukan bermaksud kita tidak mampu melawan. Tetapi mengalah adalah lebih baik daripada “berbalah”.

Dalam hidup ini, tiadalah upaya kita sebagai insan lemah untuk memuaskan hati semua insan. Seringkali berlaku keadaan apabila perdebatan kecil terhadap sesuatu perkara mengundang perselisihan besar bilamana percanggahan pendapat berlaku. Keegoan untuk membuktikan hujah yang diberikan adalah benar dan harus diterima selalunya berakhir dengan pertengkaran sehingga membawa kepada hubungan dingin antara kedua belah pihak.

Berbaloikah hubungan silaturrahim yang dipupuk sejak sekian lama menjadi hambar ekoran keegoan diri sendiri? Tentunya tidak! Dalam hidup yang singkat ini, apalah gunanya berbalah kalau tujuan utamanya adalah untuk mencari titik pemisah antara benar dan juga salah. Barangkali agak payah untuk menyemai sikap mengalah terutama sekali apabila pohon keegoan sudah lama bercambah dalam diri. Ya. Memang sukar mencantasnya tapi tidak mustahil bukan?

Mengalah bukan bererti lemah. Mengalah bukan bererti kalah. Tidak perlu kita menegakkan benang yang basah jika hakikatnya masih ada lompang-lompang kelemahan yang jelas terlihat di dalam diri sendiri. Dalam sesetengah perkara, mengalah lebih baik daripada pada akhirnya hanya kebodohan diri yang tertonjol.

Berbicara denganNya



Acapkali kita hilang keyakinan pabila awan mendung hadir bersama badai lantas menggoncangkan tiang-tiang harapan yang baru dibina. Itulah lumrah dunia sahabatku. Tidak akan pernah terasa nikmat hidup ini bila langkahan mu hanya menempuh jalan yang elok dan lurus. Sesekali kau akan diuji sepanjang perjalanan mencari redhaNya di dunia fana ini. Onak duri yang tersedia dilaluanmu bukanlah sengaja dibuat-buat semata-mata untuk memesongkan imanmu. Itulah sebenarnya kurniaan nikmat padamu agar dirimu beroleh bekalan secukupnya untuk menempuhi perjalanan seterusnya.

Takdir yang tertulis sejak azali tiada pernah kau ketahui. Untung nasib dirimu tiada pernah kau ketahui. Ajal mautmu tiada pernah kau ketahui. Begitu kerdil dirimu wahai insan kerana kau tiada cukup pengetahuan walaupun menelaah jutaan buku. Untuk itu, mengapa harus kau menyerah. Pada dugaan kau berserah. Membuat hidupmu hilang arah. Walhal dugaan ini terlalu mudah.

Kadang kala, suara-suara durjana membisikkan penyesalan di telingamu. Meniupkan kehampaan di dalam hatimu. Lantas kau membangkitkan amarah mempersoalkan takdirmu.
“mengapa insan lain tidak diuji sepertiku?!”
“mengapa insan lain mengecap bahagia sedang diriku merana?!”
“mengapa insan lain beroleh apa yang mereka impikan sedang aku hanya mampu menganyam impian kosong?!”
“aku tidak mampu menanggung beban ujian ini! Tuhan tidak adil!!”

Hentikan amarahmu. Bina kembali keyakinanmu. Dugaan yang melanda ini tanda dirimu disayangiNya. Biarkan badai ini berlalu kerna mentari indah sedang mengusir awan mendung yang menyelubungi dirimu. Tersenyumlah kerna dirimu sedang berbicara denganNya.

“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 286)

Di hentian ini, kita semua hanya singgah sementara. Tiada kekal kita di sini. Rugilah bagi mereka yang alpa terkesima dengan alunan irama-irama indah dunia sedang destinasi yang abadi dan kekal menanti dihadapan sana.

Cawan yang cantik



Sepasang datuk dan nenek pergi belanja di sebuah kedai cenderamata untuk mencari hadiah buat cucu mereka. Kemudian mata mereka tertuju kepada cawan yang cantik. "Lihat cawan itu,sangat cantik" kata si nenek kepada suaminya. "Kau betul, inilah cawan tercantik yang pernah aku lihat," ujar si datuk. Pada ketika mereka mendekati cawan itu, tiba-tiba cawan yang dimaksud berbicara:-

"Terima kasih untuk perhatian anda, perlu diketahui bahwa aku dulunya tidak cantik. Sebelum menjadi cawan yang dikagumi, aku hanyalah selonggok tanah liat yang tidak berguna. Namun suatu hari ada seorang penjunan dengan tangan kotor melempar aku ke sebuah roda berputar . Kemudian ia mulai memutar-mutar aku hingga aku merasa pening."Stop ! Stop !" Aku berteriak. Tetapi orang itu berkata, 'Belum !' Lalu ia mulai menyodok dan meninju aku berulang-ulang "Stop! Stop!" teriakku lagi. Tapi orang ini masih saja meninjuku, tanpa menghiraukan teriakanku. Bahkan lebih buruk lagi ia memasukkan aku ke dalam api. "Panas! Panas!" Teriakku dengan kuat."Stop!Cukup!" Teriakku lagi.Tapi orang ini berkata,"Belum" .Akhirnya ia mengangkat aku dari api itu dan membiarkan aku sampai sejuk. Aku fikir, selesailah penderitaanku. Oh ternyata belum.Setelah sejuk aku diberikan kepada seorang wanita muda dan ia mulai mewarnai aku. Asapnya begitu memualkan."Stop ! Stop !" Aku berteriak. Wanita itu berkata,"Belum!". Lalu ia memberikan aku kepada seorang lelaki dan ia memasukkan aku sekali lagi ke api yang lebih panas dari sebelumnya." Tolong! Hentikan penyiksaan ini!", sambil menangis aku berteriak sekuat-kuatnya.Tapi orang ini tidak peduli dengan teriakanku. Ia terus membakarku. Setelah puas "menyiksaku"kini aku dibiarkan sejuk. Setelah benar-benar sejuk seorang wanita cantik mengangkatku dan menempatkan aku dekat kaca. Aku melihat diriku. Aku terkejut sekali. Aku hampir tidak percaya, kerana di hadapanku berdiri sebuah cawan yang begitu cantik. Semua kesakitan dan penderitaanku yang lalu menjadi sirna tatkala kulihat diriku." Datuk dan nenek itu terdiam membisu. Lalu diceritakan kisah itu kepada cucunya.

Pengajaran: Seperti inilah kehidupan membentuk kita.Dalam perjalanan hidup akan banyak kita temui keadaan yang tidak menyenangkan, sakit, penuh penderitaan,dan banyak air mata. Tetapi inilah satu-satunya cara untuk mengubah kita supaya menjadi"cantik". Jangan lupa bahawa cubaan yang kita alami tidak akan melebihi daya dan kekuatan kita.Ertinya tidak ada alasan untuk tergoda dan jatuh dalam dosa apabila anda sedang menghadapi ujian hidup. Jangan kecil hati, kerana Tuhan sedang membentuk anda. Bentukan-bentukan ini memang menyakitkan tetapi setelah semua proses itu selesai; anda akan melihat betapa cantiknya Tuhan membentuk anda untuk kehidupan yang lebih baik dan bermakna di hari kemudian dan hari pembalasan(akhirat).

*Artikel ini dirujuk daripada www.iluvislam.com

kamu tidak sendiri

Apabila semuanya serba tidak kena, dan kita tidak tahu apa lagi yg hendak dibuat,ingatlah.. kita masih boleh bersandar kpd Dia Yang Maha Mengasihi

Apabila hidup diselubungi kegelapan,semuanya silap , carilah sinar itu dari Dia Yang Memberi Cahaya

Apabila dibelenggu masalah sedangkan tiada sesiapa pun yang mahu mengambil kisah, ingatlah pada Dia yg tidak pernah melukakan hatimu. Dia Yang Maha Adil

Apabila hati terluka dan kesakitan itu menumbangkan kudratmu, jangan berputus asa kerana Dia melihat segala-galanya..

Apabila lemah tidak bermaya sedangkan perjalanan masih jauh perlu diharungi, carilah kekuatan itu dari Yang Maha Perkasa

Apabila hidup ini dirasakan seperti beban, segala-galanya goyah, bangunkan semula kota semangat itu dengan keyakinan bahawa itu adalah iradat-Nya..

Apabila jalan di depan digelapi kelam mendung sedangkan tiada sesiapa di sisi sudi menemanimu, carilah jalan lurus itu dari Dia,yang menjadi satu-satunya panduan hidup

Apabila semua orang di sekeliling tidak mahu mendengar suara dan keluhanmu, jangan kecewa kerana Dia Maha Mendengar

Apabila miskin dan papa,kita terperangkap dalam kesempitan, ingatlah kepada Dia Yang Maha Kaya..

Apabila kita dalam kedukaan sedangkan tiada tempat untuk melarikan diri, mengadulah kepada Dia Yang Maha Esa

Apabila keseorangan dan kedukaan itu seperti tiada penghujungnya, serahkan dirimu kepada Dia.. satu-satunya tempat yang boleh digantungkan harapan nyata.

Apabila parut lukamu dicederakan lagi,hatimu dicakari kebimbangan, ingatlah bahawa Dia sentiasa bersama orang-orang yang sabar!

SUARA HATIKU UNTUK PEMBACAKU

Kita seringkali kecewa bilamana apa yang kita harapkan tidak menjadi kenyataan. Kekecewaan yang melanda membuatkan kita putus harapan. Barangkali ada dalam kalangan kita yang mampu membina kembali keyakinan dan bangkit memburu semula harapan yang sirna. Tapi berapa ramai antara kita tergolong dalam insan yang berjiwa besar sedemikian.

Sahabatku,
Bilamana harapanmu musnah lalu impianmu lebur, usahlah dirimu merintih hiba. Jangan pernah harapanmu pudar. Usahlah bertanya kenapa dirimu tidak mendapat apa yang kau idamkan. Dan janganlah pula dikau menyalahkan takdir. Sesungguhnya Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untukmu. Bukalah matamu. Usah pejamkan lagi. Pandanglah sekelilingmu. Terlalu indah dunia ini untuk kau bersedih. Terimalah seadanya apa yang menjadi milikmu. Buang jauh kebencianmu. Renungkanlah bait-bait indah ini;

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatau, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 216).

Blog ini bukan blog hiburan. Blog ini bukan blog sukan. Blog ini bukan blog sosial. Blog ini juga bukan blog untuk melepas kemarahan anda. Ku dedikasikan blog ini untuk mereka yang ingin membina kembali serpihan-serpihan harapan yang berkecai. Walau tidak mungkin untuk ku mencantumkan kembali kesemua serpihan yang berkecai itu, namun seboleh mungkin aku akan temukan kembali serpihan-serpihan yang berkecai itu...