Acapkali kita hilang keyakinan pabila awan mendung hadir bersama badai lantas menggoncangkan tiang-tiang harapan yang baru dibina. Itulah lumrah dunia sahabatku. Tidak akan pernah terasa nikmat hidup ini bila langkahan mu hanya menempuh jalan yang elok dan lurus. Sesekali kau akan diuji sepanjang perjalanan mencari redhaNya di dunia fana ini. Onak duri yang tersedia dilaluanmu bukanlah sengaja dibuat-buat semata-mata untuk memesongkan imanmu. Itulah sebenarnya kurniaan nikmat padamu agar dirimu beroleh bekalan secukupnya untuk menempuhi perjalanan seterusnya.
Takdir yang tertulis sejak azali tiada pernah kau ketahui. Untung nasib dirimu tiada pernah kau ketahui. Ajal mautmu tiada pernah kau ketahui. Begitu kerdil dirimu wahai insan kerana kau tiada cukup pengetahuan walaupun menelaah jutaan buku. Untuk itu, mengapa harus kau menyerah. Pada dugaan kau berserah. Membuat hidupmu hilang arah. Walhal dugaan ini terlalu mudah.
Kadang kala, suara-suara durjana membisikkan penyesalan di telingamu. Meniupkan kehampaan di dalam hatimu. Lantas kau membangkitkan amarah mempersoalkan takdirmu.
“mengapa insan lain tidak diuji sepertiku?!”
“mengapa insan lain mengecap bahagia sedang diriku merana?!”
“mengapa insan lain beroleh apa yang mereka impikan sedang aku hanya mampu menganyam impian kosong?!”
“aku tidak mampu menanggung beban ujian ini! Tuhan tidak adil!!”
Hentikan amarahmu. Bina kembali keyakinanmu. Dugaan yang melanda ini tanda dirimu disayangiNya. Biarkan badai ini berlalu kerna mentari indah sedang mengusir awan mendung yang menyelubungi dirimu. Tersenyumlah kerna dirimu sedang berbicara denganNya.
“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 286)
Di hentian ini, kita semua hanya singgah sementara. Tiada kekal kita di sini. Rugilah bagi mereka yang alpa terkesima dengan alunan irama-irama indah dunia sedang destinasi yang abadi dan kekal menanti dihadapan sana.
Berbicara denganNya
Posted by
pemerhati
at
0 comments:
Post a Comment